Sunday, 12 June 2011

Catatan Sejarah Terukir


KUALA LUMPUR 22 Nov - Bangunan bersejarah Sultan Abdul Samad di Jalan Raja di sini hari ini mencatatkan satu lagi sejarah - istiadat penghormatan penuh tentera ke atas jenazah Yang di- Pertuan Agong ke-11, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Pada masa yang sama, ia juga menyaksikan istiadat pilu pemindahan jenazah Almarhum Seri Paduka daripada usungan diraja ke atas kereta jenazah yang sedia menanti untuk menyambung perjalanan ke Istana Alam Shah, Klang.
Bangunan Sultan Abdul Samad yang merupakan struktur paling menarik di Jalan Raja, lengkap dengan menara tembaga dan menara jam setinggi 130 meter, telah menyaksikan pelbagai lakaran sejarah penting negara, termasuk pengisytiharan Kemerdekaan negara.

Bangunan yang tersergam indah hasil seni bina neoklasik Moghul, Moorish, Arab dan British, direka bentuk oleh arkitek Norman dan Bidwell. Ia mengambil masa dua tahun untuk dibina dan
siap pada 1897.

Kebetulan pula, bangunan itu dinamakan sempena moyang Almarhum Seri Paduka yang menjadi Sultan Selangor keempat yang memerintah dari 1859-1898. Pada peringkat awal, bangunan itu dijadikan pusat pentadbiran British di Malaya, kemudiannya dikenali sebagai Malaysia.

Bangunan Sultan Abdul Samad kini menempatkan mahkamah tertinggi di negara ini, jabatan kehakiman serta sebagai pusat maklumat kraftangan Malaysia.
Bertentangan bangunan itu ialah Dataran Merdeka, sebelum ini dikenali sebagai Padang Kelab Selangor yang digunakan sebagai padang kriket semasa pemerintahan British di Malaya.

Di Dataran Merdeka inilah pada tengah malam 31 Ogos, 1957, bendera Union Jack diturunkan dan digantikan dengan Bendera Malaysia serentak dengan laungan "Merdeka, Merdeka, Merdeka" menandakan kemerdekaan negara dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi Perdana Menteri pertama.

Bekas padang Kelab Selangor itu bertukar menjadi apa yang kita lihat sekarang, lengkap dengan pentas konkrit dengan tiang bendera setinggi 100 meter. Kerja pengubahsuaian padang itu siap lebih 10 tahun lalu.

Dataran Merdeka kini menjadi tempat utama perayaan sambutan Hari Kebangsaan dan acara rasmi dan tidak rasmi, termasuk konsert. - Bernama

No comments:

Post a Comment