Thursday, 11 August 2011

BANGUNAN A’ FAMOSA




SEJARAH
Kota A Famosa (bermaksud "Yang Termashur" dalam bahasa
Portugis) telah dibina oleh Portugis sebaik sahaja berjaya
menawan Melaka pada tahun 1511. A Famosa terletak di Bandar
Hilir, Melaka bersebelahan replika Istana Kesultanan Melaka dan
Gereja St. Paul. Ia merupakan seni bina Eropah tertua yang masih
tinggal di Asia.

SELEPAS PENAWANAN PORTUGIS

 

A Famosa merupakan nama kubu yang dibina oleh orang Portugis selepas menakluk Melaka pada 1511. Sebaik sahaja mereka menawan Melaka, Portugis
menggunakan buruh paksa untuk membina kubu sementara,  bagi menangkis serangan orang-orang Melayu, sementara mereka membina kubu utama yang digelar "A Famosa", atau secara rasminya Kubu Melaka (Fortaleza de Malaca). Kota A Famosa mengambil masa selama 5 bulan untuk di bina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang mati ketika membina kota tersebut. Bahan bagi membina kota tersebut diambil daripada runtuhan masjid dan bangunan lain .Pembinaan kota A Famosa atas arahan Alfonso de Albuquerque boleh dikatakan menjadi lambang penentangan penduduk Melaka masa itu sehinggakan memaksa pihak Portugis membina kota pertahanan sebaik sahaja mereka menguasai bandar Melaka.Kota A Famosa yang disiapkan mempunyai empat menara, atau ketelom (bastion), dengan tembok setebal 2.4 meter hingga 4.5 meter. Menara-menara tersebut dikenali sebagai Baluarte San Pedro, Baluerte de las Virgenes, Baluerte Madre de Dios, Baluerte Santo Domingo, dan Baluerte de Santiago.
Menjelang tahun 1583, Melaka telah menjadi bandar berkota yang dilindungi dengan tujuh puluh meriam ke semua arah.A Famosa diperluaskan ke kawasan berhampiran dan meliputi penempatan Eropah. Kawasan itu termasuklah Jalan Kota, Jalan Gereja, Jalan Mahkamah & Jalan Istana. Penjajah Portugis turut menjadikan ini satu penempatan Kristian dengan 5 gereja, tempat beribadat, biara, hospital dan sebagainya. Bagaimanapun, kota ini gagal menghalang Belanda pada kurun ke-17. Dengan bantuan rakyat tempatan dan Melayu Johor, serangan telah dilancarkan sebelum Belanda berjaya merampas Melaka.


PENAKLUKAN OLEH BELANDA


Kota A Famosa dibina sebegitu kukuh sehinggakan ia membantu Portugis untuk menangkis semua bentuk serangan. Untuk menakluk Melaka, pasukan Belanda mengepung kota tersebut selama lima bulan, sementara penduduk yang terperangkap di dalamnya terpaksa memakan kucing, tikus, dan dalam satu kes seorang wanita memakan bayinya yang mati. Akhirnya, pada 14 Januari 1641, pihak Belanda menyerbu melalui Pintu Santo Domingo Gate yang pada masa itu mengalami korban lebih 7,000, akibat kebuluran, penyakit dan tembakan senjata api. Kota A Famosa yang rosak teruk dalam pertempuran telah diperbaiki sementara Porta de Santiago yang merupakan pintu utamanya digantikan dengan logo Syarikat Hindia Timur Belanda. Selepas menawan kota tersebut, pihak Belanda membaiki dan mengubah suai, serta meletakkan jata mereka di atas pintu pagar yang masih kekal sehingga kini pada Porta de Santiago, satu-satunya pintu yang terselamat, dengan ukiran "Anno 1670".

PENTADBIRAN OLEH BRITISH


Apabila tentera Napoleon menjajah Belanda (Holland) pada  tahun 1795, Putera William of Orange melarikan diri ke London, di mana dia memerintah semua penempatan Belanda untuk menerima tentera British, bagi menghalang mereka dari jatuh ke tangan Perancis. Akibatnya, pihak British berjaya menguasai Melaka pada 1795 tanpa sebarang pertempuran. Selepas menguasai Melaka, pihak British tidak berminat menyimpannya, ataupun membiayai penempatan tentera bagi mempertahankan Melaka yang dianggap milik sementara dan perlu dipulangkan kepada pihak Belanda selepas perang.

Sebaliknya meninggalkan kota sekukuh itu tanpa pertahanan yang mencukupi adalah mengundang mara bahaya, sekiranya ia ditawan oleh pihak musuh. Tambahan pulai, mereka tidak berminat untuk memulangkan Melaka ke tangan Belanda dengan kotaA Famosa dalam keadaan utuh sebagai saingan kepada penempatan Inggeris di Pulau Pinang dan Singapura.oleh itu , Mr. Robert Farquhar iaitu Leftenan Gabenor Pulau Pinang dan juga Gabenor Melaka antara 1803 hingga 1818, telah membuat cadangan untuk memusnahkan kota A Famosa . Beliau menyatakan bahawa penyelenggaraan dan pertahanan kubu tersebut hendaklah dikecilkan dan memberi dua sebab utama, iaitu hasil yang diperolehi oleh Melaka tidak mampu membantu membiayai kos penempatan tentera 'sepoy' dan pengecilan itu akan dapat membantu memajukan Pulau Pinang dengan memindahkan penduduk Melaka ke Pulau Pinang. Maka pada awal 1804, beliau dengan tegas mencadangkan agar Melaka dihapuskan dari muka bumi dengan semua penduduk Melaka diarah supaya dipindahkan ke Pulau Pinang dan Kota Famosa dimusnahkan bagi mengelakkan ia dikuasai oleh pihak lawan.Dengan cadangan tersebut, Kerajaan Inggeris di India mengarahkan Kota A Famosa yang terletak di Bandar Hilir, Melaka dihancurkan. Kerja merobohkan Kota A Famosa bermula pada 10 Ogos 1807.

Pada awalnya dia memerintahkan pesalah untuk merobohkan Kota A Famosa batu demi batu dengan menggunakan pemungkis dan besi penyungkil. Apabila tembok yang sesetengahnya mencecah 4.5 meter kelihatan terlalu kukuh untuk ditanggalkan, dia memutuskan untuk memusnahkan Kota A Famosa dengan menggunakan ubat bedil. Dia memerintah supaya lubang digali di sekeliling kaki kota dan meletupkan Kota A Famosa,dan menyebabkan batu sebesar rumah berterbangan dan jatuh ke laut. Hampir kesemua kubu, tembok-tembok, Hospital Besar, dua tempat menyimpan beras, tempat kediaman dan enam bilik simpanan telah diletup dan diratakan. Semasa kerja-kerja pemusnahan  berlaku dengan rancaknya, Sir Stamford Raffles seorang kaki-tangan kerajaan yang bercuti sakit telah datang ke Melaka atas jemputan William Farquhar.Apabila mengetahui  perobohan Kota A Famosa, beliau telah menulis surat kepada Kerajaan Inggeris di Pulau Pinang dan India dengan menyatakan bahawa pemusnahan Kota Famosa tidak patut dilakukan. Beliau telah memberi sebab-sebab tertentu, pertamanya jika Inggeris membiarkan Melaka, pihak lain akan mendudukinya, sudah pasti ia akan merugikan Pulau Pinang, kedua Melaka itu sendiri mempunyai nilai sejarah dan mentadbirkannya tidak memerlukan perbelanjaan yang banyak, manakala yang ketiga pendudukpenduduk Melaka tidak perlu dipindahkan kerana sebelum Belanda meninggalkan Melaka, Inggeris telah pun memerintahkan penduduk Melaka supaya terus tinggal di situ.
Beliau turut menyatakan bahawa Inggeris tidak perlu meninggalkan Melaka hanya kecuali dipaksa.
Cadangan Raffles itu telah diterima dengan baik oleh Kerajaan Inggeris tetapi ia sudah terlambat kerana hampir seluruh kota tersebut telah musnah. Pemusnahan Kota 'A Famosa' pada hari ini dalam tahun 1807, telah memusnahkan hampir seluruh kota itu, dan hanya meninggalkan satu pintu kotanya yang dapat dilihat hingga hari ini, iaitu Porta de Santiago.Pihak British kekal di Melaka sehingga tahun 1818. Apabila berakhirnya peperangan Napoleon, Melaka dikembalikan ke tangan Belanda (tanpa Kota A Famosa). Melaka kekal di tangan Belanda selama tujuh tahun berikutnya, sehinggalah perjanjian London 1824, apabila mereka menukarkan Melaka dengan Bangkahulu (Bencoolen) di Sumatra.


PENEMUAN ARKEOLOGI

Pada akhir November 2006, sebahagian struktur kota, dipercayai Middelsburgh Bastion dijumpai secara tidak sengaja semasa pembinaan menara berputar 110 meter di bandar Melaka. Pembinaan menara ditangguhkan selepas penemuan tersebut. Kooperasi Muzium Melaka mensyaki struktur tersebut dibina oleh Belanda semasa pendudukan Belanda ke atas Melaka dari 1641 hingga 1824. Lebih awal lagi pada Jun 2003, menara kawalan digelar Santiago Bastion dijumpai semasa pembinaan Dataran Pahlawan.




PETA LAMA KOTA A' FAMOSA

LAKARAN GRAFIK KOTA A' FAMOSA

Sunday, 12 June 2011

Pengenalan


Bangunan Sultan Abdul Samad menjadi mercu tanda bandar raya Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia. Bangunan ini mengambil nama Sultan Abdul Samad, sempena nama Sultan Selangor pada masa ia mula dibina 1894.

Di hadapan bangunan indah ini beberapa peristiwa sejarah berlaku. Di sinilah tempat di mana bendera Union Jack diturunkan pada 31 Ogos 1957 dan bendera Jalur Gemilang dikibarkan. Peristiwa ini menunjukkan berlalulah satu era dijajah kepada era masyarakat yang merdeka.

Bangunan ini diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan dalam kategori Tapak Warisan pada 2007 oleh Jabatan Warisan Negara, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia di bawah Akta 645.

Nama Bangunan


Nama bangunan ini diambil bersempena dengan nama Sultan Selangor yang memerintah pada masa itu, iaitu Sultan Abdul Samad pada tahun 1896.Pada asalnya bangunan ini hanya disebut ‘Bangunan’ sebelum ditukar nama kepada nama Sultan Abdul Samad.

Asal-usul


Pada mula pembinaannya di kenali sebagai Bangunan Baru Kerajaan (the new Government Offices), kemudian sebagai Sekretariat Persekutuan, (Federal Secretariat), di guna bersama dengan Kerajaan Negeri Selangor sebelum berpindah ke Shah Alam pada tahun 1974.
Pembinaan Bangunan ini adalah kemuncak pembangunan yang di dirikan di Kuala Lumpur pada akhir abad ke 19 malah berupa kejayaan program Bangunan Tersergam (Massive Building programme), di bawah pengendaliaan Maxwell/Spooner sebagai perancang dan akitek Bangunan Kerajaan di Kuala Lumpur ketika itu.

Pengasas

Sultan Abdul Samad


Anthony C.Norman

Bangunan ini telah diasaskan oleh arkitek Inggeris yang bernama Anthony C.Norman sekitar tahun 1893-1897 untuk menempatkan beberapa jabatan kerajaan penting ketika zaman pemerintahan British. Norman menghabiskan masa di Afrika dan mendapat ilham daripada masjid di India yang membawa kepada ciri senibina Moor dalam arkitektur Bangunan Sultan Abdul Samad.

Tarikh Pembinaan


Bangunan ini telah di bina pada tahun 1893.Tetapi perlrtakan batu asas bagi bangunan ini hanya dibuat pada 6 Oktober 1894 oleh Sir Charles B.H Mitchell yang merupakan Gabenor negeri-negeri Selat ketika itu.Bangunan ini telah siap di bina pada tahun 1897.

Lokasi


Bangunan Sultan Abdul Samad ini terletak pada satu tapak di antara pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak dan terkenal kerana merupakan satu tempat yang strategik iaitu di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur.Keluasan kawasan tersebut adalah 10,200 meter persegi.Di bahagian belakangnya terdapat Jalan Belanda yang kini dikenali sebagai Jalan Makamah Perseketuan.Kedudukan bangunan dikatakan strategik kerana terletak berhampiran dengan Dataran Merdeka,Kelab Diraja Selangor dan Masjid Jamek yang kesemuanya terletak berhampiran Sungai Gombak.

Tujuan Penubuhan Bangunan


Tujuan penubuhan awal adalah sebagai Bangunan Kerajaan Baru untuk menempatkan semua Jabatan pentadbiran Negeri – Negeri Melayu Bersekutu (F.M.S) di bawah satu Bangunan pentadbiran berpusat:

1. Menempatkan Sekretariat Kerajaan (G.S.O);
2. Bilik mesyuarat Majlis Negeri (Council Chamber);
3. Pejabat Pos; Lembaga Kebersihan (Sanitary Board);
4. Pejabat Kehakiman (Judicial Commissioner);
5. Public Works Department (PWD);
6. Audit dan Perbendaharaan;
7. Pejabat Tanah;
8. Jabatan Galian;
9. Pejabat Daerah Jabatan Kerja Raya (P.W.D. District Office)

Kos Pembinaan


Kos binaan setelah siap April 1897 berjumlah $152,824 (anggaran awal $152,000) memakan masa pembinaan selama 2 tahun 7 bulan selepas perletakan batu asas yang dilakukan oleh H.E Sir Charles B.H Mitchell K.C.M.G (Gabenor negeri-negeri Selat) pada 6hb Oktober 1894.Kos pembinaanya yang berjumlah $152.824 merupakan bangunan yang termahal di rantau ini pada ketika ianya didirikan.

Perasmian


Bangunan ini telah disiapkan pada tahun 1897 dan dirasmikan dengan acara gilang-gemilang dengan ucapan Spooner yang menarik mengenai sejarah pembinaan bangunan tersebut.Teks lengkap ucapan beliau dalam Bahasa Inggeris boleh didapati dalam JMBRAS VOL. 65, tulisan The Bangunan Sultan Abdul Samad by J.M. Gillick.

Pelan


Pelan bangunan ini telah direka bentuk oleh arkitek dari British bernama A.C Norman (yang bekerja di Jabatan Kerja Raya di Kuala Lumpur) dan dibantu oleh seorang jurutera juga yang berasal dari British, iaitu C.E Spooner.

Pelan bangunan ini berbentuk ladam yang mana di tengah-tengahnya terdapat satu dataran/laman segi empat yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga. Kehadiran laman ini memberi pengudaraan kepada ruang legar di sebelah tampak dalam bangunan ini.
Bahagian utama bangunan ini ialah anjung yang menghadap ke arah Padang Kelab Diraja Selangor. Apabila memasuki pintu utama bangunan ini, kita dapat melihat tangga berbentuk separuh bulatan yang menuju ke kamar-kamar Hakim dan bilik-bilik Mahkamah Agung.

Ruang pejabat bangunan ini hampir 100 peratus dikelilingi serambi yang mana memberikan pengudaraan secara maksima, terutama pada zaman ianya dibina tidak mempunyai pendingin udara.

Bahan Binaan


Kerja-kerja membangunkan bangunan ini telah mnggunakan beberapa bahan binaan iaitu, 4 juta batu bata, 2,500 tong simen, 18,000 pikul kapur, 5,000 paun tembaga, 50 tan besi keluli dan 30,000 kaki padu kayu.

Reka Bentuk


Reka bentuk asal yang dikemukakan oleh Norman adalah hanya sebuah bangunan yang berkonsep Inggeris Classical Rennaisance. Bidwell, seorang arkitek muda, adalah orang yang bertanggungjawab mengadaptasi seni bina Islam (Mahometan style) sebagai tonggak reka bentuk tampak bangunan tersebut di atas pelan asal Norman selepas Spooner kurang berpuashati dengan reka bentuk tampak yang dikemukakan oleh A.C. Norman. Bangunan dua tingkat ini mempunyai ketinggian 17.5 meter dengan menara jam setinggi 40 meter dan meliputi kawasan seluas 10,200 meter persegi.

Ciri-ciri utama bangunan ini adalah ketiga-tiga kubahnya, menara jam besar dan arked serta lengkungannya yang luas. Ketiga-tiga kubah tersebut yang asalnya diperbuat daripada kayu dan batu bata dan dicat hitam, telah digantikan dengan kubah-kubah bersalut tembaga. Kubah yang terletak di atas menara jam besar diapit oleh dua kubah kecil dengan tangga pilin menurun. Kubah tengah agak luar biasa kerana ia adalah paduan dua ciri tradisional kubah dan kios.

Arch yang terdapat di bangunan ini adalah berbentuk ladam yang tajam dengan jarak antara dua tiang yang berbeza-beza. Ianya diperbuat daripada batu-bata yang dicat hitam. Menara jam besar yang terletak di tengah-tengah diimbangi oleh dua menara kecil di sudut bangunan. Tangga pilin di menara kecil menghala ke arah menara seolah-olah melambangkan keagungan bangunan ini.

Pengubahsuaian




Sekitar tahun 1978, kerja-kerja pengubahsuaian telah dibuat dan siap sepenuhnya dalam tahun 1984 dengan anggaran belanja RM 17.2 juta. Pada waktu itu, kerajaan Australia telah menyumbang sebanyak RM200,000 sebagai kos menyadur tembaga bagi ketiga-tiga kubah pada tahun 1982. Pengubahsuaian ini dilakukan hanya pda bahagian dalam bangunan tanpa menjejaskan bahagian luarnya dan kedudukan asal bangunan tersebut. Selepas siap sepenuhnya, Bangunan Sultan Abdul Samad ini sekali lagi dirasmikan pada tahun 1984.

Kerja-kerja mereka bentuk bangunan ini telah bermula seawal tahun 1889, setelah W. E. Maxwell mengambil alih tugas sebagai Residen British di Selangor. Pada masa itu, Kuala Lumpur hanya dihuni oleh bangunan-bangunan rumah kedai dan beberapa bangunan kerajaan yang tidak berapa menonjol. Maxwell telah membawa C. E. Spooner dari Ceylon sebagai State Engineer dan dibantu oleh Bellamy dan A.C. Norman sebagai arkitek.

Ubah suai dilakukan lagi pada 2007. Majlis penyerahan Bangunan Sultan Abdul Samad kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) telah diadakan pada 24 Disember 2008. Penyerahan adalah daripada SPAZ Sdn. Bhd. Kepada Jabatan Kerja Raya Malaysia dan seterusnya kepada KPKKW.

Hiasan Dalaman


Di dalam bangunan ini turut dibina sebuah dataran berbentuk segi empat yang diperindahkan di mana di tengah-tengahnya terdapat satu dataran tinggi segi empat yang dipagari oleh batas-batas pokok bunga yang cantik. Bangunan ini juga mempunyai tiga kubah, satu menara jam besar dan sebuah arked. Ia juga terdapat satu serambi besar tertutup.

Cara Pembinaan

Sebagai Bangunan yang menjadi ‘pemula’ dalam waktu pembinaanya 1894 hingga 1897, hasil senibinanya pula lengkap dengan ciri-ciri keistimewaan dari aspek komposisi karektor seperti stail, ragam hias dan pemilihan unsur-unsur Islam pada gerbang tingkap, bentuk separuh lengkong, kubah potong bawang dan struktur berbentuk minaret yang kebiasaannya terdapat pada senibina Masjid. Kesemua elemen-elemen tersebut menambah nilai estetika yang hebat dan kemudian menjadi contoh ikutan dan penentu aliran kecenderungan dalam pembinaan bangunan awam.

Kegunaan Dahulu dan Sekarang


Kegunaan Dahulu
Pusat pentadbiran negeri-negeri melayu bersekutu
Pejabat Residen-General
Pejabat Besar pos
Mahkamah Agung
Mahkamah Tinggi Bahagian Sivil dan Dagang
Mahkamah Tinggi Jenayah


Kegunaan Sekarang
Makamah Tinggi Malaya
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
Pejabat Menteri
Pejabat Timbalan Menteri
Pejabat Ketua Setiausaha
Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha
Bahagian Pengurusan
Unit Perhubungan Awam
Unit Undang-Undang
Unit Audit Dalam
Perpustakaan KPKKW

Kejayaan Bangunan


Politik
Pernah menempatkan Setiausaha Kerajaan Selangor, kemudian menempatkan beberapa pejabat kerajaan yang lain antaranya pejabat perbendaharaan Selangor, perbendaharaan persekutuan, dan mahkamah persekutuan dan mahkamah tinggi.

Ekonomi
Merupakan tumpuan kepada pelancong–pelancong asing dan seterusnya menambah pendapat kerajaan melalui sistem pertukaran wang asing.

Sosial
Bangunan Ini dilihat sebagai bahan kajian sejarah bagi para pelajar khasnya bagi pelajar tingkatan 3 2009 yang menjalankan kerja kursus sejarah. Bangunan ini menjadi daya tarikan pelancong kerana faktor sejarahnya dan senibinanya yang unik.

Masalah Banjir


Bangunan ini turut dilanda banjir pada tahun 1971 apabila hujan lebat berlaku di seluruh negara. Jumlah hujan yang lebat itu ditambah pula dengan sistem saliran yang tidak begitu memuaskan di sekitar Kuala Lumpur.

Di belakang bangunan ini pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak di mana di tengah-tengahnya adalah Masjid Jamek yang juga menggunakan ciri-ciri arkitektur yang sama oleh arkitek yang sama. Stesen komuter Masjid Jamek terletak bersebelahan dengan Masjid Jamek. Laluan air sungai selalu tersekat apabila sampah-sarap tersangkut pada tiang-tiang stesen komuter. Banjir kilat berlaku akibat perancangan stesen komuter yang tidak tepat ini.

Tempat parkir kereta di bawah Dataran Merdeka tenggelam beberapa kali apabila banjir kilat berlaku seperti pada 2003 dan 2007. Semasa banjir kilat pada 10 Jun 2007 antara jam 6.00 hingga 8.00 malam , air sedalam 1.8 meter di beberapa tempat.

Catatan Sejarah Terukir


KUALA LUMPUR 22 Nov - Bangunan bersejarah Sultan Abdul Samad di Jalan Raja di sini hari ini mencatatkan satu lagi sejarah - istiadat penghormatan penuh tentera ke atas jenazah Yang di- Pertuan Agong ke-11, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Pada masa yang sama, ia juga menyaksikan istiadat pilu pemindahan jenazah Almarhum Seri Paduka daripada usungan diraja ke atas kereta jenazah yang sedia menanti untuk menyambung perjalanan ke Istana Alam Shah, Klang.
Bangunan Sultan Abdul Samad yang merupakan struktur paling menarik di Jalan Raja, lengkap dengan menara tembaga dan menara jam setinggi 130 meter, telah menyaksikan pelbagai lakaran sejarah penting negara, termasuk pengisytiharan Kemerdekaan negara.

Bangunan yang tersergam indah hasil seni bina neoklasik Moghul, Moorish, Arab dan British, direka bentuk oleh arkitek Norman dan Bidwell. Ia mengambil masa dua tahun untuk dibina dan
siap pada 1897.

Kebetulan pula, bangunan itu dinamakan sempena moyang Almarhum Seri Paduka yang menjadi Sultan Selangor keempat yang memerintah dari 1859-1898. Pada peringkat awal, bangunan itu dijadikan pusat pentadbiran British di Malaya, kemudiannya dikenali sebagai Malaysia.

Bangunan Sultan Abdul Samad kini menempatkan mahkamah tertinggi di negara ini, jabatan kehakiman serta sebagai pusat maklumat kraftangan Malaysia.
Bertentangan bangunan itu ialah Dataran Merdeka, sebelum ini dikenali sebagai Padang Kelab Selangor yang digunakan sebagai padang kriket semasa pemerintahan British di Malaya.

Di Dataran Merdeka inilah pada tengah malam 31 Ogos, 1957, bendera Union Jack diturunkan dan digantikan dengan Bendera Malaysia serentak dengan laungan "Merdeka, Merdeka, Merdeka" menandakan kemerdekaan negara dengan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj menjadi Perdana Menteri pertama.

Bekas padang Kelab Selangor itu bertukar menjadi apa yang kita lihat sekarang, lengkap dengan pentas konkrit dengan tiang bendera setinggi 100 meter. Kerja pengubahsuaian padang itu siap lebih 10 tahun lalu.

Dataran Merdeka kini menjadi tempat utama perayaan sambutan Hari Kebangsaan dan acara rasmi dan tidak rasmi, termasuk konsert. - Bernama